Komuniti
Biro Belia di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK), Kampung Lebir ditubuhkan atas dasar untuk memberi kesedaran kepada para belia bahawa merekalah pelapis masa depan Kampung Lebir. Razali Arifin selaku Pengerusi Biro Belia dengan dibantu oleh tujuh ahli jawatankuasa tertinggi telah melaksanakan beberapa aktiviti yang diharap dapat memberi ruang kepada belia kampung membuktikan peranan mereka dalam membangunkan Kampung Lebir.
Antara projek yang berjaya direalisasikan oleh para belia Kampung Lebir ialah ternakan air tawar yang memberi pendapatan sekitar RM1,500 semusim, bengkel motosikal "kapcai", ternakan ayam dan ternakan kambing. Ternakan lembu pula dalam proses menunggu kelulusan daripada Jabatan Haiwan. Penubuhan Kumpulan Dikir Barat Belia 4B Lebir telah memberi peluang kepada para belia untuk membuat persembahan di luar Jajahan Gua Musang seperti menyertai pertandingan di Auditorium Radio Televisyen Malaysia Kota Bharu.
Kemajuan sesebuah desa banyak bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh kaum hawanya. Dengan wujudnya Biro Wanita di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK), Kampung Lebir di bawah pimpinan Azlina Mat Nor dan dibantu gigih oleh Fatimah Ya, ia diharap mampu mengimbangi keupayaan kaum Adam berdasarkan pepatah 'berdiri sama tinggi, duduk sama rendah'.
Antara aktiviti wajib bagi golongan kaum wanita di sini ialah mengadakan majlis bacaan Yasin pada setiap minggu, bergiat cergas dalam aktiviti ekonomi wanita melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), mengadakan kelas masakan dan jahitan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di samping menjadi tukang masak berkumpulan setiap kali adanya majlis kenduri dan majlis rasmi lawatan oleh pemimpin dari luar.
Lambang kejayaan Biro Wanita terbukti dengan lahirnya Kumpulan Nasyid Nurul Hikmah yang telah beberapa kali bertanding di peringkat Jajahan Gua Musang di mana rekod kali terakhir ialah menjadi Johan peringkat Gua Musang anjuran AIM.