Pendidikan
Tidak dinafikan bahawa pendidikan merupakan elemen terpenting bagi setiap individu untuk menempuh dunia globalisasi. Justeru, pendidikan sejak usia muda amat dititikberatkan oleh masyarakat dalam usaha melahirkan generasi yang berilmu dan berkualiti ketika negara menuju Wawasan 2020.
Anak-anak di Kampung Lebir bersekolah di Sekolah Kebangsaan Lebir yang dibuka sejak tahun 1985. Selain menyediakan persekitaran sesi pembelajaran selesa, adanya blok bangunan baru dan bilik darjah serta kemudahan lain yang mencukupi, ia turut menempatkan sebuah asrama. Asrama ini digunakan bagi membantu murid-murid yang tinggal berjauhan dari sekolah menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran tanpa gangguan.
Bagi mereka yang berumur 13 hingga 17 tahun, mereka akan bersekolah di Sekolah Menengah Paloh yang terletak kira-kira 27 kilometer dari kawasan kampung. Kebanyakan mereka tinggal di asrama yang disediakan kerana jarak perhubungan antara sekolah ini dengan Kampung Lebir amat ketara jauhnya dan tiada perkhidmatan bas sekolah disediakan.